Tuesday, November 10, 2009

BAWA JEMAAH HAJI UTK BIAYA YAYASAN SULAMI

MENGAMBIL UPAH MEMBAWA JEMAAH HAJI UNTUK BIAYA YAYASAN SULAMI-
MENCARI KEREDHAAN DI JALAN ALLAH


Pada malam Jumaat 5 November 2009 selepas solat magrib berjemaah Yayasan Sulami telah mengadakan kenduri kesyukuran dan doa memohon keselamatan di Surau Baiti Ali, Km 6 Permatang Pasir Alai Melaka, sempena tarikh bertolak rombongan haji pimpinan Al Fadhil Ustaz Ali Melaka ke Tanah Suci yang dijadualkan oleh pihak Tabung Haji Malaysia pada 15 November 2009.
Pada musim haji tahun ini, Pengerusi Yayasan Sulami mengetuai 300 orang jemaah haji yang diamanahkan oleh Agensi Perjalanan Ke Tanah Suci Tabung Haji Malaysia. Majoriti bakal haji adalah dari kalangan penduduk negeri Melaka. Yayasan Sulami telah membuat kenduri secara ala kadar dengan menyembelih seekor kambing untuk menjamu para tetamu dan anak-anak yatim. Seramai 250 orang tetamu yang terdiri dari penduduk berdekatan, bakal haji dan anak-anak yatim telah hadir meraikan majlis tahlil dan doa selamat ini.
Kepada mereka yang berhajat untuk mengupah membuatkan ibadah haji, Al Fadhil Ustaz Ali masih menerima hajat murni anda dan beliau boleh di hubungi ditalian telefon 06-2684086 di alamat seperti di atas sebelum bertolak ke Kelana Jaya pada 14 November 2009. Bayaran upah membuat ibadah haji itu boleh anda bincang terus dengan Al Fadhil Ustaz. Bayaran upah haji seperti biasa akan diberi kepada para pelajar Melayu kita yang sedang menuntut ilmu di Mesjidil Haram Mekah. Upah haji yang mereka terima digunakan sebagai pembiayaan sara hidup diri mereka ketika bermuzafir berkelana menuntut ilmu di Mekah. Mereka akan bersama-sama dengan rombongan Ustaz Ali melakukan ibadah haji seperti di tahun-tahun lepas.
Rombongan haji Ustaz Ali dijangka pulang ke tanah air pada 24 Disember 2009, insyaallah. Semoga ibadah haji dapat dilakukan dengan sempurna dan diredhai Allah dengan haji mabrur. Suka juga dimaklumkan bahawa Al Fadhil Ustaz Ali, juga menerima amanah hajat murni anda yang ingin mengirim wang untuk bersedekeh di Tanah Suci dan di musim haji. Terserah pada anda mengikut hajat dan niat anda untuk bersedekah dan menderma kepada penerima di Mekah samada golongan para pelajar kita, fakir miskin dsb.
Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada semua tetamu Allah yang akan mengerjakan fardhu haji pada tahun ini. Wasallam.
oleh IA